kisah manusia harian

cerita apa saja

Pages

Wednesday, January 30, 2008

Kisah Cinta Seorang Isteri

"Aliyah, abang minta izin untuk nikah
seorang lagi,"

Aliyah yang sedang melipat kain,
terdiam seketika. Mungkin terkedu.
Adakah pendengarannya kian kabur
lantaran usianya yang kian beranjak.

Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di
dalam TV, sementelah TV juga dipasang.
Tapi, ahh bukanlah. TV sedang
menayangkan iklan Sunsilk, mustahil
sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia
menghela nafas panjang. Dia memandang
sekali imbas wajah Asraf Mukmin,
kemudian tersenyum.

Meletakkan kain yang telah siap
dilipat di tepi, bangun lantas menuju
ke dapur. Langkahnya diatur tenang.
Segelas
air sejuk diteguk perlahan.

Kemudian dia ke bilik Balqis,
Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya,
mencium puteri-puterinya sebelum dia
masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya
kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan
suaminya. Kini, anak-anak kian
beranjak remaja. Kemudian, dia
menjenguk bilik putera bujangnya yang
berdua, si kembar, Solehin dan Farihin.

Pengabisannya dia kembali kepada
suaminya. Asraf Mukmin hanya diam,
membatu diri. Dia amat mengenali
isterinya. Jodoh yang diatur keluarga
hampir 16 tahun yang lepas
menghadiahkan dia sebuah keluarga yang
bahagia, Aliyah adalah ikon isteri
solehah. Namun, kehadiran Qistina,
gadis genit yang menjawat jawatan
pembantu tadbir kesetiausahaan di
jabatannya benar-benar membuatkan dia
lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau. Aku
rasa kau mampu untuk beri makan 2
keluarga," sokongan Hanif, teman
sepejabat menguatkan lagi hujah
apabila dia berdepan dengan Aliyah.

"Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis
sanggup bermadu jika itu yang
ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis
perlukan seseorang yang mampu memimpin
Qis," masih terngiang-ngiang bicara
lunak Qis. Akhir-akhir ini, panas
rasanya punggung
dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat
subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk
ke pejabat. Tidak seperti kelaziman,
dia akan bersarapan berjemaah bersama
isteri dan anak-anak.

Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran
bumi Kenyalang benar-benar menjerat
hatinya.

"Abang, Aliyah setuju dengan
permintaan abang. Tapi, Aliyah nak
berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan
tenang
sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu,
Aliyah bukan seorang yang panas baran.
Aliyah terlalu sempurna, baik
tetapi ahh hatinya kini sedang
mengilai wanita yang
jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia
bersama Aliyah selama 1 hari saja,
boleh?" pelik benar permintaan
isterinya. Hendak dipengapakan apakah
buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar
dia menganguk, tanda setuju. Sebab,
dia yakin isterinya tidak akan
melakukan perkara yang bukan-bukan.

Dan hakikatnya dia seharusnya
bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah
isterinya itu wanita lain, alamatnya
perang dunia meletus lah jawabnya.
Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu
zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni,
isteri-isteri lebih bijak. Teringat
dia kisah seorang tentera yang
disimbah dengan asid, gara-gara
menyuarakan keinginan untuk menambah
cawangan lagi satu. Kecacatan seumur
hidup diterima sebagai hadiah sebuah
perkahwinan yang tidak sempat
dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman
daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan
isteri abang," terjegil bulat mata Qis
yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang
minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan
Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan
dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin.

"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu
orangnya. abang dah lama hidup
dengannya. abang faham,"

Qistina mengalih pandangannya. Mahu
apakah bakal madunya berjumpa
dengannya? Dia sering disogokkan
dengan pelbagai cerita isteri pertama
membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina
lah. Jangan haraplah jika nak membuli
aku. Desis hati kecil Qistina.

Hari ini genap seminggu Qistina
bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia
merindu. Puas dicuba untuk menghubungi
Qistina, namun tidak berjaya.

Rakan serumah menyatakan mereka
sendiri tidak mengetahui ke mana
Qistina pergi. Genap seminggu juga
peristiwa dia menghantar Qistina untuk
ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia
diminta oleh Aliyah bermunajat di
Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya
benar-benar terusik. Sekian lamanya
dia tidak menyibukkan dirinya dengan
aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina,
saban malam dia akan bersama dengan
Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah
dengan kariah masjid. Kemudian
menghadiri majlis kuliah agama.
Membaca AlQuran secara bertaranum itu
adalah kesukaannya. Namun, lenggok
Qistina melalaikannya. Haruman Qistina
memudarkan bacaan taranumnya.
Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi
dengan tasbih, tasmid yang sering
dilagukan. Seharian di Masjid Putra,
dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin
yang dulu. Asraf Mukmin anak
Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin
yang asyik
dengan berzanji. Menitis air matanya.

Hatinya masih tertanya-tanya, apakah
yang telah terjadi pada hari itu.
Aliyah menunaikan tanggungjawabnya
seperti biasa. Tiada kurangnya layanan
Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci
untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

bret bret... sms menjengah masuk ke
kantung inbox hensetnya. "Qis minta
maaf. Qis bukan pilihan terbaik untuk
abang jadikan isteri. Qis tidak
sehebat kak Aliyah. Qis perlu
jadikan diri Qis sehebatnya untuk
bersama abang," Dibawah hensetnya, ada
sekeping sampul besar.

************ ********* *********

Kepada:

Asraf Mukmin,

Suami yang tersayang...

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul
berwarna cokelat yang hampir saiz
dengan A4 itu dibuka perlahan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Pengasihani,

Salam sejahtera buat suami yang
tercinta, moga redhaNya sentiasa
mengiringi jejak langkahmu. Abang yang
dikasihi,

Genap seminggu sesi temuduga yang
Aliyah jalankan pada Qistina. Terima
kasih kerana abang membawakan Aliyah
seorang calon madu yang begitu cantik.
Di sini Aliyah kemukakan penilaian
Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model,
ia memang mengalahkan Aliyah yang
sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-
bajunya memang mengikut peredaran
zaman. Tapi, Aliyah sayangkan abang.
Aliyah tak sanggup abang
diheret ke neraka kerana menanggung
dosa. Sedangkan
dosa abang sendiri pun, masih belum
termampu untuk dijawab di akhirat
sana, apatah lagi abang nak menggalas
dosa org lain. Aliyah sayangkan
abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak.
Memang pandai dia masak, apatah lagi
western food. Tapi, Aliyah sayangkan
abang. Aliyah tahu selera abang hanya
pada lauk pauk kampung. Tapi tak
tahulah pula Aliyah kalau-kalau
selera abang sudah berubah. Tapi,
Aliyah masih
ingat lagi, masa kita sekeluarga
singgah di sebuah restoran western
food, abang muntahkan semua makanan
western food tu. Lagi satu, anak-anak
kita semuanya ikut selera ayah mereka.
kasihan nanti, tak makan lah pula
anak-anak kita. Aliyah sayangkan
abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat
berjemaah. Kelam kabut dibuatnya.
Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah,
nanti
dia akan menjadi ibu pada zuriat abang
yang lahir, jadinya Aliyah harapkan
dia mampu untuk mengajar anak-anak
abang nanti untuk menjadi imam dan
imamah yang beriman. Tapi, kalau dia
sendiri pun kelam kabut memakai
telekung... Aliyah sayangkan abang...

abang yang disayangi,

Cukuplah rasanya penilaian Aliyah.
Kalau diungkap satu persatu, Aliyah
tak terdaya. abang lebih memahaminya.
Ini
penilaian selama 1 hari, abang mungkin
dapat membuat penilaian yang jauh
lebih baik memandangkan abang
mengenalinya lebih dari Aliyah
mengenalinya.

abang yang dicintai,

Di dalam sampul ini ada borang
keizinan berpoligami. Telah siap
Aliyah tandatangan. Juga sekeping
tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika
munajat abang di Masjid Putra
mengiayakan tindakan abang ini,
ambillah borang ini, isi dan pergilah
kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap,
Qistina telah berada di sawarak.

Menunggu abang...Aliyah sayangkan
abang...
Tetapi jika abang merasakan Qistina
masih belum cukup
hebat untuk dijadikan isteri abang,
pergilah cari wanita yang setanding
dengan Aliyah... Aliyah sayangkan
abang.

Tetapi, jika abang merasakan Aliyah
adalah isteri yang hebat untuk
abang..tolonglah bukakan pintu bilik
ni.
Aliyah bawakan sarapan kegemaran
abang, roti canai..air tangan Aliyah.
Salam sayang,

Aliyah Najihah binti Mohd Hazery

Tangannya pantas membuka pintu
biliknya. Di situ berdiri Aliyah
Najihah bersama-sama hidangan sarapan
pagi
kegemarannya. Dia tersenyum!

Benar, tiada isteri sehebat Aliyah
isterinya!!! !!

2 comments:

joker said...

apa khabar?

I like your blog. I'll come back for more, keep it up!

Do drop by my blog and have a look.

http://1jokeaday.blogspot.com

anna a.k.a anne said...

kabar baik..

who am i?

My photo
nilai, negeri sembilan, Malaysia
like to privacy,easy going,peramah,membebel,sengal~~